Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 14, 2012

Isra' dan Mikraj, 27 Rejab 1433 Hijrah


Assalamualaikum.

Subhanallah.
Maha Suci Allah.
Allah yang suci dari sebarang kelemahan, kekurangan dan ketidak sempurnaan.

Kurang 3 hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Isra’ dan Mikraj yakni pada tanggal 27 Rejab setiap tahun dan pada tahun ini bersamaan 17 Jun 2012 (Ahad). Hari di mana perintah solat di anugerahkan kepada umat Islam. Sedarkah kita bahawa Allah menyampaikan perintah bagi ibadah lain seperti haji, zakat, puasa dan sebagainya menerusi perantaraan malaikat Jibril, namun bagi perintah solat, Allah sendiri yang menjemput Rasulullah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj mengadap diriNya dan di anugerahkan ibadah tersebut.


Pada zaman dulu, agak sukar manusia untuk beriman dengan peristiwa tersebut. Dengan keupayaan teknologi yang terbatas, fikiran mereka juga turut terbatas dalam mempercayai peristiwa Rasulullah bergerak dari Madinah ke Palestin dan kemudian bersolat di masjid Aqsa dan terus diterbangkan Allah melepasi langit ke tujuh, dan dalam perjalanan melintasi langit-langit tersebut, diperlihatkan syurga dan neraka, bertemu Allah swt dan menerima anugerah solat 5 waktu, turun semula ke langit dunia, kemudian sampai semula ke masjidil Aqsa dan kemudian pulang ke Madinah HANYA dalam 1/3 malam ( 4 jam ) sahaja.

Masjid Al-Aqsa, Palestin

Begitu ramai umat Islam yang murtad ketika itu kerana ujian tersebut. Ramai yang tidak percaya dan tidak kurang pula yang mendakwa Rasulullah sudah gila. Dalam kekalutan tersebut, Umar bingkas bangun dan membenarkan Rasulullah dengan katanya; JIKA LEBIH DARI ITU PUN AKU AKAN PERCAYA YA RASULULLAH.

Alhamdulillah, kini dengan teknologi yang semakin maju, kita diperlihatkan oleh Allah akan logik peristiwa tersebut.

Setiap benda yang Allah jadikan daripada sesuatu akan menjadi lebih baik atau hebat daripada bentuk asal benda tersebut. Contoh, malaikat dari cahaya maka malaikat lebih baik, hebat dan cantik dari cahaya. Manusia dari tanah maka manusia lebih baik, hebat dan cantik dari tanah. Roti dari tepung maka roti lebih baik, sedap dan bernilai dari tepung. Dan seterusnya. 

Kini tidak mustahil untuk bergerak dari Madinah ke Palestin dengan menaiki kenderaan dalam masa kurang 4 jam. Namun sedarkah kita kenderaan apa yang digunakan Rasulullah ketika itu? BURA’. Ya, sejenis makhluk dari syurga yang dibuat daripada kilat (petir). Maka jika Bura’ dari kilat maka Bura’ lebih laju dan hebat dari kilat itu sendiri. Subhanallah.

Rasulullah melepasi langit dunia? Angkasa tiada oksigen dan pancaran sinar matahari boleh membakar manusia di angkasa jika tidak memakai pakaian angkasawan. Bagaiman Rasulullah boleh hidup dalam keadaan itu? Jawapannya mudah. pernahkah anda melalukan jari anda pada api pelita atau api lilin? Jika anda menggerakan jari dengan pantas, maka jari tersebut tidak akan terbakar walaupun jari tersebut menyentuh api tadi. Maka anda juga tidak akan merasa sakit. Masih ingatkah kenderaan yang dinaiki Nabi ketika itu? Ya, kepantasan Bura’ menyebabkan Rasulullah tidak terkesan dengan kepanasan matahari dan ketiadaan oksigen di angkasa. Logik bukan?! Subhanallah.

Bagaimana pula Rasulullah dapat melihat peristiwa-peristiwa di syurga dan neraka seperti hukuman pada orang yang mendedahkan aurat, berzina, makan harta haram, keindahan taman-taman syurga dan banyak lagi dalam tempoh yang cukup pendek? Sahabatku sekalian, jika P.Ramlee dapat buat filem Hang Tuah dari dia kecil hingga remaja, kemudian menuntut di gunung Ledang kemudian menjadi laksamana Melaka kemudian membawa Tun Teja dari Pahang ke Melaka kemudian meminang Puteri Gunung Ledang kemudian membunuh Hang Jebat kemudian menghilangkan diri di Sungai Melaka yang sepatutnya perjalanan hidup Hang Tuah yang mengambil masa lebih kurang 40 tahun dijadikan filem untuk tontonan selama 1 ½ jam sahaja, masakan Allah tidak mampu mempertontonkan segala kejadian syurga dan neraka kepada Rasulullah dalam masa yang singkat?

Ingatlah, ketika perintah solat di anugerahkan kepada Rasulullah SAW, baginda sudah kehilangan semua tempat bergantung (bapa dan ibu, datuk, Abu Talib, Khadijah sudah di wafatkan oleh Allah). Apa yang ingin Allah sampaikan ialah Rasulullah sudah tiada tempat untuk bergantung, berlindung, berkasih, oleh itu terimalah anugerah SOLAT ini agar kau Ya Muhammad hanya akan bergantung pada Aku sahaja. Solatlah untuk kau memohon, merayu, berkata-kata, berkasih dengan Tuhan mu.

Sayangnya Allah pada kita, hingga Dia ingin jumpa kita 5 kali sehari sedangkan bagi umat Nabi Ibrahim, Allah hanya wajibkan solat 2 kali sahaja sehari.

Kesimpulannya,

Sayangkah kita pada Allah?
Adakah kita menghargai solat?
Fahamkah kita pada peristiwa isra’ mikraj dan hikmahnya?

Siapa kita di sisi Allah?